top of page
Image by James Sutton

Blog Panas

Menulis Sambil Membakar

Writer's pictureadmin KambingBBQ

Hukum Memberi Makan Daging Aqiqah & Korban Kepada Non Muslim

Updated: May 21, 2020


Sumber: semangatdtk5a.blogspot.com

Assalamualaikum WBT.


Sepanjang kami melakukan kerja-kerja menggolek kambing lebih dari 6 tahun ini, ada beberapa persoalan berkaitan hukum hakam yang kami perlu rujuk kepada para ustaz agar segala amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada kami dapat dilaksanakan dengan sempurna dan yang penting selari dengan tuntutan agama.


Antara beberapa peristiwa yang team kami sendiri alami, ketika majlis kenduri aqiqah. Tuan rumah menjemput rakan-rakan satu ofis yang terdiri daripada muslim dan non-muslim. Mereka ingin menjamu hidangan kambing golek kami tetapi dihalang oleh ayah tuan rumah sendiri kerana memberikan hukum tidak boleh menjamu daging akikah kepada non-muslim. Bila peristiwa ini berlaku, tuan rumah menjadi serba salah bila ayah atau mak sendiri yang memberi arahan sedemikian kerana tak kan nak biarkan sahaja rakan mereka yang non-muslim telan air liur je ketika hidangan berupa kambing yang dimasak di depan mata.


Setelah beberapa ustaz yang kami rujuk, dan juga artikel yang kami baca, kami akan kongsikan maklumat yang kami jumpa kepada anda sebagai ilmu kita bersama.

Pelaksanaan ibadah aqiqah adalah menjadi tuntutan di dalam agama Islam sebagai tanda syukur kita ke atas kelahiran baru anak yang di anugerahkan oleh Allah. Ianya merupakan suatu ibadat muakkadah bagi yang berkemampuan. Maksud Aqiqah oleh masyarakat Melayu Muslim di Malaysia adalah satu ibadah Islam dengan mengorbankan haiwan untuk bayi lelaki atau perempuan yang baru lahir


Ibadat aqiqah adalah sunat muakkad bagi mereka yang berkemampuan

Tuntutan melaksanakan ibadah aqiqah ini adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir Al-Dhabbi RA, katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:


مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى


Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”

Riwayat Al-Bukhari (2839)



Menurut jawapan yang kami jumpa di website Mufti Wilayah Persekutuan, yang diterbitkan pada 14 Januari 2016 di sini, ada menyatakan bahawa hukum memberi makan daging korban atau akikah ini merupakan khilaf atau berlaku perbezaan pendapat antara para ulama’. Antara perbezaan tersebut adalah seperti berikut:


  • Al-Imam Abu Hanifah (Mazhab Hanafi) memberikan rukhsah (keringanan) pada non-muslim (kafir zimmi) yang fakir untuk diberikan sebahagian daging korban (termasuklah daging aqiqah). Ini juga pendapat imam Al-Hassan Al-Basri Rahimahullah.

  • Mazhab Maliki pula berpendapat hukumnya adalah makruh seperti memberi makan kepada Yahudi atau Nasrani

  • Mazhab Hanbali berpendapat hukumnya harus dihadiahkan kepada orang kafir daripada daging korban yang sunat. Adapun yang wajib tidak diharuskan

  • Mazhab Syafi’e, pendapat yang masyhur tidak dibolehkan kerana korban adalah ketaatan untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala.


Mengambil kira penduduk Malaysia yang berbilang kaum dan agama, pihak mufti wilayah memberi pendapat seperti berikut:


Kami berpendapat bahawa di dalam isu ini hendaklah dilihat dari sudut maslahah dan juga siyasah syar’iyyah supaya ia lebih harmoni dalam masyarakat di samping menjadi senjata dakwah yang paling ampuh kepada masyarakat yang bukan Islam. Kami katakan di sini:


Sekiranya di dalam komuniti masyarakat Islam di sesuatu tempat terdapat jiran-jiran mereka yang bukan Islam dan mereka itu dikenali dengan sifat baik serta ramahnya dengan masyarakat setempat, jika terdapat lebihan dari hasil korban maka dibolehkan untuk diberikan kepada mereka.


Namun jika hasil korban itu hanya mencukupi untuk orang Islam, maka dahulukanlah umat Islam setempat yang lebih memerlukan. Wallahu a’lam.


Ini kerana terdapat dalil dari Al-Quran agar berbuat baik kepada orang bukan Islam yang mana Allah SWT telah berfirman:


لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ


Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Surah Al-Mumtahanah: 8)


Daging Korban. Sumber: siraplimau.com

Memberikan daging korban kepada orang bukan Islam juga adalah termasuk di dalam berbuat baik yang dibenarkan oleh Allah SWT.


Selain itu, terdapat juga hadith yang mengisyaratkan agar berbuat baik kepada jiran meskipun mereka bukan dari kalangan orang Islam. Ianya adalah sebuah hadith daripada Abdullah bin ‘Amr al-‘As R.Anhuma yang mana telah menyembelih seekor kambing buat ahli keluarganya lalu beliau berkata: Adakah kamu telah menghadiahkan (daging tersebut) kepada jiran kita Yahudi? (beliau menanyakannya sebanyak dua kali) kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda:


مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُه


Maksudnya: “Sentiasalah Jibril AS mewasiatkan kepadaku (berbuat baik) kepada jiran (dengan baik dan sopan) sehingga aku menyangka bahawa Jibril AS mengarahkan daripada Allah SWT agar menjadikan mereka sebagai pewaris.”

Riwayat Abu Daud (5152) & Al-Tirmizi (1943)


Bagi pendapat admin sendiri, hasil dari perbincangan dengan beberapa orang ustaz, dibolehkan untuk memberi makan daging korban dan daging aqiqah kepada non-muslim selama mana mereka itu adalah dikenali sebagai orang yang tidak menentang Islam dan menghormati agama Islam itu sendiri.


Semoga artikel ini bermanfaat.



P/s: Untuk mengetahui pakej kambing golek kami, boleh klik gambar di bawah ye. 😁


38,747 views0 comments

Comments


bottom of page